Panduan Memberi Susu Badan
Ramai ibu baharu mendapati memberi susu badan merupakan salah satu tindakan keibuan yang paling menakjubkan. Ini kerana, buat kali pertama, mereka memberikan makanan yang berkhasiat kepada bayi mereka. Oleh yang demikian, penting untuk anda bersikap jujur tentang memberi susu badan: walaupun ia merupakan suatu tindakan yang semula jadi, kadangkala ia tidak datang secara semula jadi.
Pada masa lalu, ibu baharu mempunyai emak atau nenek yang bertindak sebagai mentor yang mengajar tentang memberi susu badan. Oleh itu, memberi susu badan mungkin datang "secara semula jadi" kerana ia telah diajarkan kepada mereka! Pada masa kini, ramai ibu baharu mengikuti kursus segera tentang memberi susu badan di hospital sejurus selepas melahirkan bayi mereka. Malangnya, arahan sekali ini mungkin tidak mencukupi.
Memberi susu badan memerlukan kesabaran dan latihan. Jika anda menghadapi masalah berkaitan, sebagai contoh, menyuruh si manja menghisap puting atau anda dapati proses itu mendatangkan rasa sakit, maka mintalah bantuan daripada ibu-ibu lain, jururawat atau bidan anda, daripada kursus yang diajar di hospital atau pusat sokongan yang lain. Memberi susu badan adalah baik untuk anda dan si manja. Tetapi ia haruslah merupakan aktiviti yang menyenangkan, bukan aktiviti yang penuh dengan kebimbangan dan air mata.
Mulakan dari Awal
Masa yang baik untuk mula memberi susu badan adalah tidak lama selepas bersalin, jika boleh, apabila si manja terjaga dan naluri menghisapnya kuat. Walaupun anda mungkin belum menghasilkan susu lagi, buah dada anda mengandungi kolostrum, iaitu cecair cair yang mengandungi antibodi.
Kedudukan yang Betul
Mulut si manja haruslah terbuka luas dan puting anda masuk ke dalam mulutnya sedalam yang mungkin. Ini akan mengurangkan rasa sakit yang mungkin akan anda alami kelak. Jururawat, bidan atau orang lain yang berpengetahuan boleh membantu anda mencari kedudukan penyusuan yang selesa. Jika anda rasa sangat sakit, ada kemungkinan si manja tidak memasukkan puting jauh ke dalam mulutnya.
Susukan atas Permintaan
Bayi yang baru lahir perlu menyusu dengan kerap, lebih kurang setiap dua jam dan tidak mengikut jadual yang ketat. Memberi susu atas permintaan akan merangsang buah dada anda untuk menghasilkan banyak susu. Beberapa minggu kemudian, si manja akan mempunyai rutin menyusu yang lebih mudah diramalkan. Tetapi oleh sebab susu ibu lebih mudah dihadam berbanding susu formula, bayi yang menyusu badan sering menyusu dengan lebih kerap berbanding bayi yang menyusu botol.
Kebengkakan
Sebagai ibu baharu, anda biasanya akan menghasilkan banyak susu. Ini mungkin menjadikan buah dada anda besar, keras dan menyakitkan untuk beberapa hari yang pertama. Untuk melegakan kebengkakan ini, anda perlu menyusukan si manja dengan kerap dan atas permintaan. Lakukan ini hingga badan anda dapat melakukan pelarasan dan hanya menghasilkan jumlah yang diperlukan oleh si manja. Sementara itu, sila berbincang dengan penyedia penjagaan kesihatan anda tentang mengambil ubat penahan sakit yang dibeli di farmasi, menuam buah dada selama beberapa minit sebelum menyusukan untuk merangsang aliran susu dan meletakkan ais di buah dada selama 10 minit sebelum atau selepas menyusukan untuk melegakan kesakitan.
Jangan Beri Makanan Tambahan
Jangan beri si manja air gula atau makanan tambahan yang lain walaupun jika anda merasakan bahawa susu badan anda tidak mencukupi. Hal ini boleh mengganggu selera si manja untuk menyusu badan dan lambat-laun akan menyebabkan bekalan susu semakin berkurangan. Semakin kerap si manja menyusu, lebih banyak susu akan dihasilkan. Jika anda bimbang si manja tidak mendapat cukup susu, sila berbincang dengan doktor anda.
Lengahkan Pemberian Puting Getah
Lengahkan pemberian puting getah: Anda disyorkan agar menunggu selama seminggu atau dua minggu sebelum memberikan puting getah supaya si manja tidak keliru. Puting getah memerlukan tindakan menghisap yang berbeza daripada puting buah dada. Menghisap botol juga boleh mengelirukan si manja. Ini akan menjadikan bayi anda lebih sukar untuk menyusu badan.
Gunakan Pelapik Coli
Kadangkala, susu badan akan meleleh keluar dan ini mungkin akan membuatkan anda malu. Gunakan pelapik coli khas yang membantu menyerap susu yang meleleh keluar.
Muntah
Bayi sering muntah semasa atau selepas menyusu. Kebanyakan bayi akan berhenti muntah menjelang hari jadinya yang pertama. Walaupun muntah merupakan satu kelaziman pada bayi, sila dapatkan nasihat doktor jika si manja tidak bertambah berat badan, muntahnya bertambah teruk (dan bukannya sekadar susu terkeluar semula), enggan menyusu atau anda melihat tanda-tanda masalah yang lain.
Puting Merekah
Pada peringkat awal selepas bersalin, anda mungkin mengalami rekahan pada puting. Jika ini berlaku, jalani pemeriksaan dengan penyedia penjagaan kesihatan, bidan atau pakar penyusuan untuk mendapatkan nasihat yang praktikal. Jika puting anda merekah, bilas dengan air bersih selepas menyusukan dan bersihkan dengan perlahan-lahan setiap hari. Sapukan krim puting yang selamat dan sesuai. Selain itu, salap juga mungkin dapat membantu. Pastikan anda berbincang dengan penyedia penjagaan kesihatan anda jika keadaan ini berlarutan atau mengganggu keupayaan anda untuk memberi susu badan kepada si manja.
Awasi Jangkitan
Gejala jangkitan buah dada termasuk demam, ketulan yang menyakitkan dan kemerahan pada buah dada. Ini memerlukan perhatian perubatan dengan segera.
Makan dengan Sihat dan Berehat
Ibu yang memberi susu badan harus makan makanan yang seimbang dan berkhasiat. Secara amnya, mereka perlu meningkatkan jumlah kalori yang mereka ambil sebanyak 500 kalori sehari berbanding sebelum ini. Sebaik-baiknya, jangan ambil minuman yang berkafein sama sekali dan elakkan minuman beralkohol. Selain itu, pastikan anda minum banyak air (6-8 gelas) setiap hari. Rehat dan tidur yang berkualiti juga penting untuk membantu mengekalkan kesihatan yang baik untuk diri anda.
Para ibu di seluruh dunia yakin dengan penjagaan bayi oleh JOHNSON’S®
Kami bekerjasama dengan para ibu, pakar penjagaan kesihatan dan saintis bagi memastikan produk kami terus mencapai piawaian tertinggi dalam keselamatan, kualiti dan penjagaan.
Bersiap Sedia untuk Bayi Anda
Cara menyediakan rumah anda untuk menyambut bayi baharu.
Bantu Si Manja Menghisap
Lihat video pendek daripada BabyCenter® ini bagi mempelajari cara meletakkan bayi dengan betul untuk membantu si manja menghisap puting anda.
Related Products
Related Articles
Perubahan Badan Anda
Ketahui bagaimana badan anda akan berubah semasa hamil dan langkah-langkah yang boleh anda ambil untuk tetap berasa yakin dengan diri sendiri sepanjang tempoh 9 bulan yang istimewa ini.
Sebelum Bayi Lahir
Anda akan menjadi ibu dan bapa – detik paling istimewa dalam hidup anda! Jika anda berasa gementar, itu normal.
Menyediakan Bilik Bayi
Anda tidak perlu membeli perabot yang mewah atau mainan yang mahal untuk menyediakan bilik bayi yang ideal. Anda hanya perlu membuat pertimbangan bagi memastikan persekitaran itu selamat, tenteram dan bersedia untuk menyambut bayi anda.
Menyusukan Bayi Anda
Masa menyusu merupakan waktu yang baik untuk duduk diam, berehat dan mengeratkan ikatan dengan bayi anda melalui sentuhan. Ibu-ibu menyusukan bayi mereka dengan pelbagai cara yang berlainan. Ketahui lebih lanjut tentang cara menyusukan bayi anda.